Syukur ke hadrat Allah S.W.T. kerana dengan izin-Nya, kursus Inovasi BM Melalui TMK yang kami jalani selama 4 minggu ini, hanya tinggal sehari sahaja lagi, akan sampai ke penghujungnya, Insya-Allah. Pengalaman menjalani kursus ini bagaikan menemui selonggok harta karun. Amat bernilai, cukup berharga. Hanya boleh dapat jika dicari, diselongkar, dan diteroka. Demi mendapatkannya, kita perlu ada niat, usaha yang berterusan, serta doa dan tawakkal. Semoga benih-benih ilmu yang diperolehi dalam program keilmuan seumpama ini dapat dicambahkan ke lapangan yang betul dan menjadi wadah yang bermanfaat kepada semua pihak. Insya-Allah.
Aku, hujan, dan pelangi
Thursday, 21 July 2011
Monday, 18 July 2011
Kursus Inovasi P&P BM Melalui TMK
Puan Hajah Patimah sedang khusyuk memberi penerangan
di hadapan kelas
Antara fasilitator yang tidak lokek berkongsi ilmu dengan
para peserta kursus. Hanya Allah sahaja yang layak membalas
semua jasa baik kalian.
Para peserta kursus begitu tekun memanfaatkan setiap detik emas yang dijalani ketika berada di Makmal 3 ini. Semoga ilmu yang berjaya disemai dalam majlis ilmu seperti ini dapat digunakan untuk memajukan diri, keluarga, masyarakat, dan negara. Insya-Allah. Ibarat kata pepatah," Hendak, seribu daya. Tak hendak, seribu dalih." Mudah-mudahan, kita menjadi orang yang sentiasa berkehendak, dan sentiasa bersedia mengerah sejuta tenaga untuk merealisasikan kehendak kita itu. Amin... Insya-Allah.
Meregangkan otot dengan tarian cantik... hehehe.. Memang cantik..huhu
Memang khusyuk. Adat menuntut ilmu, kata orang :). Peace kak :)
Dari kiri , Puan Mukarramah (Orang Kuat Tatabahasa), Puan Gusnaini Pasaddei (Orang Kuat Movie Maker, MS Excel dan banyak lagi :) ), dan Puan Hasnita (Orang Kuat Blog). Saya pula (tak ada dalam gambar), orang kuat complaint..huhu...maaf la.
KOMSAS TINGKATAN 1
Kasut Kelopak Jantung
Ghazali Lateh
Hari itu Cikgu Harun menerima lagi sebuah bungkusan. Ketika balik dari surau malam itu, bungkusan itu sudah ada. Nama pada bungkusan itu sememangnya nama Cikgu Harun walaupun tidak bersetem atau tanda dihantar dengan pos. Cikgu Harun tahu benar pengirim bungkusan itu. Bukan pertama kali dia menerimanya, malah setahun dua kali sudah pasti, semenjak beberapa tahun yang lalu. Terutamanya ketika tiba tarikh 16 Mei, bungkusan hadiah itu akan sampai seperti selalunya. Dia telahpun menduga.
Cikgu Harun sendiri tidak pasti tujuan pengirimnya berbuat demikian. Mahu menyindir atau benar-benar ikhlas. Atau sindiran dan keikhlasan telah bergumpal menjadi satu, Cikgu Harun tidak tahu. Namun sesuatu yang pasti, setiap kali bungkusan itu sampai, Cikgu Harun pun terkesima, membiarkan diri hanyut dalam arus ingatan ke zaman awal menjadi pendidik di sebuah kampung pedalaman. Lebih tiga dekad yang lalu, ketika kedaifan masih menjadi sinonim dengan kehidupan marhaen di luar Bandar.
“Bangun! selamat pagi cikgu!”
Cikgu Harun tercegat di depan kelas. Matanya memandang sekeliling kelas darjah tiga itu. Akhirnya, seperti biasa dia tertumpu kepada Ahmad di hujung kelas. Cikgu Harun memandang Ahmad lama-lama, dari atas ke bawah. Matanya yang besar dijengilkan ke arah Ahmad. Memang menakutkan bagi seorang murid darjah tiga seperti Ahmad. Tambahan pula imej bengis seperti Cikgu Harun sememangnya menjadi igauan anak-anak kecil rata-rata anak pesawah ataupun penoreh getah kampung.
“Ahmad, mana kasut?” Tanya Cikgu Harun dengan suara yang keras. Soalan itu bukan yang pertama, malah sudah berkali-kali semenjak sekolah dibuka beberapa minggu yang lalu.
“Belum beli, cikgu,” jawab Ahmad dengan suara perlahan amat. Seolah-olah tidak kedengaran. Suara anak kecil itu tidak mahu keluar bagai ada sesuatu yang tersengkang pada batang tenggoroknya.
Itulah jawapan yang diberikan semenjak soalan itu diajukan kepadanya. Itulah juga perbendaharaan kata yang terlontar keluar melewati bibir kering Ahmad. Dia tidak bercakap banyak. Mukanya ditundukkan apabila bercakap dengan orang, terutamnya Cikgu Harun. Dia tidak berani bertentang mata dnegan Cikgu Harun.
“Bila nak beli?” tanya Cikgu Harun. Pertanyaan itu tidak berjawab. Ahmad membatukan diri seperti selalu.
Begitulah setiap pagi semenjak tiga minggu yang lalu. Sebelum itu Ahmad memakai selipar Jepun lusuh ke sekolah. Selepas selipar itu putus, Ahmad hanya berkaki ayam. Tidak pernah ada kasut berwarna putih di kakinya.
Sepanjang tiga minggu itu Cikgu Harun bertanya soalan yang sama setiap pagi.
Baginya Ahmad merosakkan keceriaan kelas. Murid lain semuanya berpakaian lengkap. Hanya Ahmad sahaja yang tidak. Pada fikiran Cikgu Harun, jika murid itu miskin pun, mustahil kasut sekolah pun tidak mampu dibeli. Bukannya mahal sangat. Pasti ibu bapanya tidak ambil kisah, jika Ahmad terus tidak berkasut.
Cikgu Harun Bukannya garang sangat. Akan tetapi karenah Ahmad sedikit sebanyak mencetuskan perasaan kurang senang dalam jiwa mudanya. Dan rasa kurang senang itu sering dilepaskan kepada Ahmad setiap pagi sehingga membuatkan budak hingusan itu termangu-mangu dan tersipu-sipu. Malu barangkali.
Cikgu Harun bertanya soalan yang sama setiap pagi juga ada tujuannya. Sekurang-kurannya Ahmad akan mendesak ibu bapanya untuk membeli sepasang kasut untuk ke sekolah. Dia tahu, jika dia tidak ambil kisah, perkara itu akan berlarutan. Malahan, anak-anak yang lain pula akan ambil kesempatan. Anak-anak kampung itu sememangnya lebih selesa berkaki ayam waktu itu. Mereka sudah mangli dengan keadaan sedemikian. Kasut bukanlah satu barang penting dalam kehidupan mereka.
“Lepas ini kita akan ke padang untuk bersenam,” ujar Cikgu Harun selepas merungut-rungut tentang Ahmad yang tidak berkasut. Murid-murid segera menukar pakaian. Cuma Ahmad sahaja yang tidak berbuat demikian.
Di padang, murid-murid darjah tiga itu bermain riang. Semuanya memakai pakaian sukan yang lengkap. Mata Cikgu Harun sekali lagi tertumpu kepada Ahmad. Dia masih memakai kameja putih lusuh dan seluar biru pudar. Kemarahan Cikgu Harun tiba-tiba datang semula.
“Ahmad, mari sini!” panggil Cikgu Harun segera. Ahmad pun datang terkebil-kebil, tertunduk-tunduk seperti ayam kalah menyabung.
“Kenapa tak tukar pakaian?” Cikgu harun terus bertanya. Ahmad tidak menjawab. Dia ketakutan. Pasti.
“Kasut sekolah tak pakai, baju sukan tak bawa! Apa nak jadi dengan kamu ini?” leter Cikgu Harun setelah melihatAhmad hanya diam membatu. Mahu sahaja dipukul budak itu sekuat hati. Namun, kesabaran masih tersisa dalam jiwanya.
“Saya dah tak tahan dengan kamu. Hari ini saya nak denda kamu! Kata Cikgu Harun. Dia segera bangun dan mencari sesuatu. Dia ke tepi pagar sekolah. Barangkali mahu mencari ranting pokok di tepi pagar. Jika ada ranting itu, punggung Ahmad akan disebatnya kuat-kuat, fikirnya. Ilmu psikologi yang dipelajarinya di maktab dahulu tidak boleh dipakai ketika berdepan dengan budak seperti itu. Begitu pula fikir Cikgu Harun. Ahmad tetap tercegat dan terkebil-kebil, mnenanti hukuman guru yang berasal dari bandar itu.
Tiba-tiba Cikgu Harun terpandang rumpun pisang merimbun di tepi pagar sekolah. Beberapa tandan pisang terjuntai di celah-celah rumpun pisang itu. Di bawahnya bertaburan kelopak jantung yang gugur. Besar-besar dan berwarna merah hati. Cikgu Harun memungut kelopak jantung itu lalu kembali ke tempat Ahmad sedang berdiri. Seperti menanti hukuman gurunya.
“Pergi cari tali!” arah Cikgu Harun kepada Ahmad. Murid itu tidak berkata apa-apa. Dia terus beredar ke arah kantin sekolah. Sebentar kemudian dia kembali dengan seutas tali rafia berwarna merah.
“Kamu pakai benda ini. Ikat elok-elok!” Cikgu Harun memberikan perintah. Jarinya dituding tepat ke arah kelopak jantung pisang. Ahmad memandang kosong ke wajah Cikgu Harun seperti mahu meminta simpati.
“Cepat!” jerkah Cikgu Harun apabila melihat Ahmad masih tercegat. Kali ini Ahmad tidak membantah. Dia mencangkung dengan sebelah kaki dihulurkan ke depan.
Kelopak jantung diacukan ke tapak kakinya yang comot. Kemudian tali rafia dilalukan di bawah tapak kakinya itu. Kelopak jantung pisang itu kemudian diikat kemas-kemas, melekap sendat pada kaki kematu Ahmad. Selepas sebelah, sebelah lagi dipasangkan, seperti memakai kasut sekolah.
“Jangan buka-buka kasut ini selagi kamu tak beli kasut baru!” Cikgu Harun memberikan amaran. Ada sedikit perasaan lucu di dalam hati Cikgu Harun melihat anak murid yang tak dikenali latar belakang itu. Kadang-kadang dilihatnya Ahmad seperti lurus bendul. Dia tidak pernah membantah kata-kata guru. Katalah apa sahaja, dia tetap patuh tanpa banyak soal. Jauh sekali ponteng sekolah. Walaupun berkaki ayam, Ahmad tidak pernah ponteng. Itulah kelebihan Ahmad. Kegigihannya memang ketara. Cikgu Harun turut menyedarinya.
Ahmad berlalu. Air matanya mula meleleh, membasahi pipi cengkungnya. Kawan-kawannya mula tertawa melihat kasut baharunya itu. Ahmad berjalan macam lembu sakit kaki. Dia serba salah. Hendak angkat muka, dia berasa malu. Semua yang ternampak kakinya, pasti akan tersengih-sengih jika tidak ketawa. Hendak tunduk, ternampak pula kasut baharu yang menyakitkan hati.
Terasa ketika itu kakinya macam kaki gajah yang untuk dan tidak cantik. Seperti kaki ayam yang mencakar najis. Terasa kakinya seperti kaki monyet, kaki itik, dan kaki tiang rumahnya yang using. Malah, Ahmad terasa dirinya seperti tidak berkaki langsung., kudung kedua-dua belah kiri dan kanan. Ahmad semakin malu memikirkan smeua itu. Waktu rehat Ahmad tidak keluar. Dia hanya menanti deringan loceng waktu pulang dengan gelisah. Pasti sepanjang jalan nanti semua orang akan melihat kakinya yang berkasut kelopak jantung itu.
Ahmad berlari pulang ketika murid-murid lain sudah keluar sekolah. Sekejap pun dia tidak berhenti kerana malu kakinya dilihat orang. Jika berselisih dia akan ke kaki lima jalan atau masuk ke dalam semak rumpun semalu di tepi jalan. Dia sudah biasa meranduk semak begitu. Sakit hatinya kini lebih perit daripada sakit tertusuk duri semalu di tepi jalan. Matanya masih berair, bukan kerana sakit kaki , akan tetapi hatinya yang terhiris.
Besoknya, tempat duduk Ahmad kosong. Cikgu Harun sedar bahawa Ahmad tidak datang. Selama ini Ahmad tidak pernah ponteng sekolah. Dia rajin ke sekolah walaupun terpaksa berjalan tanpa kasut.
Hari berikutnya juga Ahmad tidak datang. Hari selepasnya pun begitu. Kini, seminggu sudah Ahmad tidak hadir. Cikgu Harun berasa ada sesuatu yang tidak kena. Dia cuba mendapatkan maklumat daripada murid-murid yang lain.
“Dia kata hendak berhenti sekolah, cikgu!” kata salah seorang kawan Ahmad. Jawapan itu menjadikan Cikgu Harun tersentak. Dia mula terasa bahawa Ahmad telah berkecil hati. Cikgu Harun tidak menyangka bahawa tindakannya telah menyentuh perasaan muridnya itu. Rasa bersalah mula menyerang perasaannya. Dia mula berasa kehilangan Ahmad. Niatnya, dia mahu Ahmad menjadi seperti seperti murid-murid yang lain di sekolah itu.
Jika Ahmad berhenti sekolah, Cikgu Harun berasa dia gagal dalam kerjayanya. Mana ada guru yang mahu muridnya gagal dalam pelajaran. Mana ada guru yang mahu murid-muridnya berhenti sekolah. Jika tidak ada murid, dari mana datangnya kerjaya seorang guru. Murid dan guru itu saling melengkapi. Kini, seorang murid hendak berhenti sekolah. Jika itu terjadi, negara akan kehilangan seorang warga yang berpendidikan. Cikgu Harun mula disapa penyesalan yang bukan sedikit ketika itu. Dia mula insaf bahawa tindakannya terhadap Ahmad keterlaluan. Selama ini, walaupun dimarah beberapa kali Ahmad tetap datang ke sekolah.
Petang itu Cikgu Harun mengambil keputusan untuk ke rumah Ahmad. Dengan panduan murid-murid lain, dia melalui denai-denai sempit dengan motosikalnya ke hujung kampung.
“Jauh juga rumah Ahmad,” bisik hati kecil Cikgu Harun. Dia mula membayangkan betapa sukarnya Ahmad ke sekolah setiap hari berjalan tanpa kasut dalam semak seperti itu. Batu kerikil sepanjang jalan sudah tentu menyakitkan kaki anak kecil seperti Ahmad. Pohon semalu yang berduri memenuhi jalan sudah pasti memeritkan tapak kaki kecil milik Ahmad.
Sebaik sahaja sampai di sebuah rumah, tidak ada penghuni di lihat oleh Cikgu Harun di dalam rumah yang layak di sebut pondok itu. Cikgu harun memandang sekeliling. Suasana sepi sekali. Dia pasti itulah rumah Ahmad seperti yang diberitahu oleh anak-anak muridnya yang lain.
“Ahmad!” teriak Cikgu Harun. Suasana sunyi kembali. Tiba-tiba seorang wanita separuh umur muncul dari belakang rumah, terhinggut-hinggut dan uzur benar.
“Ahmad tak ada. Dia pergi ke kebun sayur mengambil
upah petik cili. Sebentar lagi dia balik,” kata orang tua itu. “Encik ni siapa?” tambahnya kemudian.
“Saya Cikgu Harun.” Riak wajah wanita itu terus berubah mendengar jawapan itu.
“Jemputlah naik,” pelawa wanita itu. Cikgu Harun dapat meneka bahawa wanita itu ibu Ahmad daripada raut wajahnya.
“Tak apalah! saya nak jumpa Ahmad,” balas Cikgu Harun.
Tidak lama kemudian, Cikgu Harun terpandang kelibat seorang budak lelaki berjalan di celah-celah semak di belakang rumah. Pergerakan budak itu tidak lancar. Cikgu Harun hanya menanti dengan sedikit debaran di dada.
“Ahmad!” sapa Cikgu Harun apabila budaknya itu hampir dengannya. Ahmad seperti terkejut dengan sapaan dan kehadiran Cikgu Harun. Dia terus membatukan diri. Cikgu Harun memerhatikan Ahmad dari atas ke bawah. Pandangannya terlekat pada kaki Ahmad. Kelopak jantung pisang yang sudah berjurai-jurai masih terlekat pada kaki comot budak lurus itu.
“Kenapa kamu tak buka kelopak jantung ini?” tanya Cikgu Harun pantas. Perasaannya mula tersentuh. Dia tidak menyangka arahan supaya tidak menanggalkan kelopak jantung itu benar-benar dipatuhi oleh anak murid yang selalu menganggu perhatiannya itu.
“Saya belum cukup duit untuk membeli kasut baru,” jawab Ahmad terkebil-kebil. Jemari halus kelihatan kemerah-merahan, barangkali bekas keperitan bekerja memetik cili api di kebun sayur berdekatan.
Air mata Cikgu Harun gugur tanpa disedari. Dia terus sahaja menghidupkan enjin motosikalnya. Dia melalui denai-denai sempit menuju ke arah pekan berdekatan. Di pekan itu dia membeli sepasang pakaian sekolah dan sepasang kasut.
Kemudian, Cikgu Harun bergegas pulang. Dia terus ke hujung kampung. Dia menyerahkan beg plastic berisi pakaian sekolah itu kepada Ahmad. Ahmad tetap dengan caranya berhadapan dengan guru darjahnya itu, diam dan terkebil-kebil.
“Ahmad, esok pergi sekolah. Pakai uniform baru ni,” kata Cikgu Harun. Ahmad menyambut pemberian Cikgu Harun dengan tangannya terketar-ketar.
“Terima kasih, cikgu,” kata Ahmad ketika Cikgu Harun membuka ikatan kasut kelopak jantung yang berjurai-jurai hancur di kakinya.
Kini, Cikgu Harun telah bersara daripada tugas mendidik yang dilaluinya lebih daripada tiga puluh tahun. Dia pernah mendapat khabar beberapa tahun yang lalu, Ahmad menjadi seorang peniaga di pasar malam. Ahmad menjual pakaian dan berbagai-bagai jenis kasut. Namun begitu, dia tidak pernah menemui anak muridnya itu. Anak murid yang menjadikan Cikgu Harun seorang guru yang penyayang.
Sejak beberapa tahun kebelakangan ini, Cikgu Harun tidak membeli kasut lagi. Dia sering menerima hadiah kasut-kasut mahal dan berjenama daripada bekas muridnya yang pernah dipakaikan kasut kelopak jantung. Setiap kali sempena Hari Guru dia mendapat sepasang kasut baharu. Walaupun dia masih waswas dengan pemberian itu, Cikgu Harun yakin bahawa Ahmad ikhlas. Dalam setiap bungkusan, Ahmad sering menyatakan keikhlasannya mengenang jasa guru yang menjadikannya seorang insan yang Berjaya. Dia telah memegang jawatan pengurus besar di sebuah syarikat pengeluar kasut terkemuka di Bandar. Katanya, kasut kelopak jantung itu benar-benar menyedarkannya betapa pentingnya kasut kepada manusia.
Kupasan Cerpen: Dipetik daripada blog Cikgu Azhar
Murid tingkatan satu sudah mula didedahkan dengan pembelajaran komponen sastera menerusi senaskhah novel berdasarkan zon, serta sebuah antologi yang memuatkan sejumlah 25 buah karya sastera genre puisi tardisional dan sajak, prosa tradisional, cerpen, serta drama. Bilangan muka suratnya boleh tahan juga, iaitu 172 halaman, termasuk glosari
Antologi yang dimaksudkan ialah "Kasut Kelopak Jantung" yang judulnya diangkat daripada cerpen pertama yang menghiasi muka surat 77 hingga 86. Semuka surat penuh (78) diperuntukkan untuk ilustrasi yang memaparkan wajah Ahmad, dan Cikgu Harun ketika muda, dan satu lagi sesudah bersara. Cerpen nukilan Ghazali Lateh itu menggunakan bahasa yang mudah, serta jalan cerita yang ringkas.
Ghazali Lateh bertindak sebagai pencerita (sudut pandangan orang ketiga, yang serba tahu). Watak utama, iaitu Cikgu Harun yang baru sahaja pencen menerima bungkusan hadiah yang diterimanya setiap kali tanggal 16 Mei, iaitu tarikh sambutan hari guru. Kemudian pembaca diasyikkan dengan imbasan kembali kenangan Cikgu Harun dengan pengirim hadiah berkenaan, iaitu Ahmad, seorang murid miskin di pedalaman.
Cikgu Harun yang baru mula bertugas sebagai pendidik digambarkan sebagai berdarah muda dan kurang memahami kesusahan kanak-kanak kampung seperti Ahmad yang kais pagi makan pagi, kais petang makan petang. Dalam kelas darjah hanya Ahmad yang tidak berkasut putih. Malah, sejak selipar Jepun yang disarungnya putus, Ahmad hanya berkaki ayam.
Tujuan asal Cikgu Harun menegur Ahmad saban hari ialah supaya memindahkan desakan itu kepada ibu bapanya. Namun, kemarahan Cikgu Harun memuncak apabila Ahmad tidak menukar pakaian sukan, apatah lagi hendak menyarung kasut sukan. Ahmad didenda memakai kelopak jantung yang diikat dengan tali rafia merah dari kantin sebagai kasutnya.
Ahmad berasa malu diperlakukan demikian, malah dijadikan jenaka murid lain. Dia hanya mampu mengalirkan air mata sambil menunggu murid lain balik semuanya sebelum beredar sendirian. Cikgu Harun telah memberikan amaran supaya Ahmad tidak menanggalkan kasut kelopak jantung berkenaan hinggalah dia berjaya membeli kasut yang dikehendaki.
Seminggu lamanya Ahmad tidak hadir ke sekolah, walaupun sebelumnya dia tidak pernah ponteng. Khabar bahawa Ahmad mahu berhenti sekolah menyebabkan Cikgu Harun diserang rasa bersalah dan kesal. Pada sebelah petangnya, Cikgu Harun bermotosikal ke rumah Ahmad melalui denai-denai sempit yang dipenuhi batu kerikil, duri semalu dan semak. Ibu Ahmad memberitahu bahawa Ahmad mengambil upah memetik cili.
Demi terpandang Ahmad yang masih menyarung kelopak jantung yang sudah hancur berjurai-jurai, Cikgu Harun mulai tersentuh.Cikgu Harun bergegas ke pekan berhampiran membeli sepasang pakaian sekolah dan sepasang kasut buat Ahmad. Kasut kelopak jantung itu kini dianggap oleh Ahmad sebagai pendorong hingga dia kini bergelar sebagai pengurus firma pengeluar kasut yang terkemuka di bandar.
Perbincangan:
1. Perwatakan
§ Cikgu Harun ialah seorang yang tegas, tetapi penyayang dan pemurah.
§ Ahmad ialah murid yang taat, ikhlas dan gigih.
2. Latar masyarakat
§ masyarakat yang tegas, masyarakat penyayang, masyarakat pemurah, masyarakat yang taat, masyarakat yang ikhlas, dan masyarakat yang gigih.
3. Nilai
§ kasih sayang, kegigihan, kepatuhan, murah hati, dan mengenang jasa.
4. Persoalan
§ kasih sayang antara guru dengan murid, kegigihan seorang murid miskin, kepatuhan murid terhadap arahan guru, sikap murah hati terhadap orang miskin, dan murid yang mengenang jasa guru.
5. Pengajaran: Kita hendaklah menyayangi sesama manusia
Kita hendaklah gigih dalam menghadapi cabaran kehidupan
Kita hendaklah patuh kepada arahan guru
Kita hendaklah bermurah hati kepada orang miskin
Kita hendaklah mengenang jasa guru
6. Latar tempat: bilik darjah, padang sekolah, rumah Ahmad
7. Latar masa: pagi (semasa pembelajaran), petang (di rumah Ahmad)
8. Tema: Kasih sayang antara guru dengan murid di sebuah sekolah pedalaman
9. Teknik penceritaan: imbas kembali, sudut pandangan orang ketiga
10. Gaya bahasa: ayat penyata, ayat tanya
Sunday, 17 July 2011
TEKNOLOGI MAKLUMAT MERENTASI KURIKULUM
PENGENALAN
Dalam era ledakan teknologi maklumat dan ilmu pengetahuan pada masa kini, pendidikan di Malaysia berkembang pesat dan semakin menghampiri sasaran negara iaitu Wawasan Negara 2020. Dalam aspek ini, teknologi maklumat (pendidikan) menjadi salah satu agen pemangkin yang mengorak langkah ke arah pembudayaan Sains dan Teknologi bagi mewujudkan masyarakat yang berkebolehan dan berkemampuan dalam bidang teknologi selaras dengan misi dan visi negara (Wan Zahid,1991).
Teknologi maklumat sudah lama bertapak dalam sistem pendidikan di negara ini malalui apa yang dipanggil sebagai "teknologi pendidikan". Usaha-usaha membudayakan teknologi pendidikan ini sebenarnya sudah bermula secara tidak rasmi di awal tahun-tahun 1940an lagi (Naim Hj. Ahmad, 1991). Sejak itu hingga kini teknologi pendidikan telah berkembang dan mengalami pelbagai perubahan seiring dengan perubahan arus semasa. Perubahan semakin rancak dengan penggunaan komputer dan internet secara meluas dalam bidang pendidikan khasnya dalam proses pengajaran dan pembelajaran (p&p) dalam semua peringkat sistem pendidikan di negara ini. Istilah yang paling sesuai untuk menggambarkan kemajuan teknologi maklumat dalam bidang pendidikan hari ini ialah sebagai " teknologi maklumat yang sudah merentasi kurikulum"
TEKNOLOGI MAKLUMAT DALAM PENDIDIKAN
Dalam konteks penggunaan teknologi maklumat dalam pengajaran dan pembelajaran , tiada satu cara pun boleh dikatakan sebagai yang terbaik dan mesti digunakan. Pendekatan terbaik yang sebenarnya ialah apabila penggunaan teknologi maklumat yang sesuai dengan keperluan pelajar, serta dapat membuahkan hasil yang diharapkan dalam jangka masa yang munasabah. Penggunaan teknologi maklumat dalam p&p dapat dilihat dari dua aspek, iaitu aspek pengajaran guru dan aspek pembelajaran pelajar.
Dalam konteks pengajaran, teknologi maklumat boleh digunakan sebagai alat persembahan dan alat demontrasi. Dalam konteks pembelajaran pula , penggunaan teknologi maklumat dalam p&p boleh dikategorikan sebagai :
- Tutorial
- Penerokaan
- Aplikasi
- Komunikasi
Kertas kerja ini akan memfokuskan penggunaan teknologi maklumat dalam pembelajaran.
Teknologi maklumat untuk pembelajaran tutorial
Teknologi maklumat untuk pembelajaran secara tutorial apabila digunakan untuk menyampaikan kandungan pelajaran berdasarkan urutan yang telah ditetapkan. Alat teknologi maklumat yang selalu digunakan untuk pembelajaran secara ini ialah komputer dan perisian pendidikan sama ada yang disimpan dalam CD-Rom, cakera keras ataupun laman web. Istilah Computer Assisted Instruction (CAI) digunakan untuk menggambarkan penggunaan komputer dalam p&p. Kemudian istilah Intelligent Computer Assisted Instruction atau Intelligent System pula digunakan. Perubahan ini adalah seiring dengan perkembangan yang berlaku dalam reka bentuk perisian pendidikan yang bercirikan kecerdasan. Ciri ini malahirkan perisian pendidikan yang berupaya menyesuaikan maklumat yang disampaikan dengan kemampuan dan keperluan pelajar.
Dengan perkembangan teknologi maklumat atau Information comunication technology (ICT) hari ini, perisian kursus yang ada kebanyakkannya bercirikan multimedia. Sebahagian besar perisian pendidikan yang digunakan dalam pembelajaran tutorial direka bentuk berdasarkan kepada model tradisional p&p, model transmisi, yang melihat guru sebagai penyampai maklumat utama dan murid senagai penerima. Perisian pendidikan seperti ini lebih mudah diadaptasi oleh guru. Walau bagaimanapun , guru-guru haruslah berhati-hati melaksanakan pendekatan ini. Kesilapan dalam memberikan pertimbangan boleh mengakibatkan pembaziran masa dan tenaga, menghalang penggunaan kemudahan teknologi maklumat yang lebih produktif serta lain-lain masalah lagi yang mungkin timbul
Sebelum guru menggunakan pendekatan ini, perkara berikut perlu diberi pertimbangan iaitu ada perisian pendidikan yang sesuai dan guru perlu menilai terlebih dahulu perisian itu. Selain itu perlulah juga mempunyai peralatan teknologi maklumat yang sesuai untuk melaksanakan perisian dan kemahiran mengendalikannya. Setelah pasti benar-benar wujud keperluan, guru hendaklah merancang penggunaan teknologi maklumat ini dalam p&p, bukan dibuat secara bidan terjun. Perancangan ini perlu mengambil kira perkara seperti lokasi peralatan teknologi maklumat yang hendak digunakan, penggunaan secara berkumpulan atau indidvidu serta penggunaan di dalam atau di luar waktu persekolahan.
Teknologi maklumat untuk pembelajaran penerokaan
Penggunaan teknologi maklumat untuk pembelajaran secara penerokaan berlaku apabila teknologi maklumat digunakan sebagai medium untuk:
- mencari dan mengekses maklumat dari CD-ROM, Internet, portal maklumat dan sebagainya.
- mengalami, mempelajari dan mengkaji sesuatu fenomena secara simulasi.
- melihat demontrasi sesuatu kejadian yang urutan babaknya boleh dikawal oleh pelajar.
Dalam pembelajaran penerokaan, pelajar boleh mengawal dan menentukan maklumat yang diterima melalui teknologi maklumat. Ini berbeza dengan pembelajaran secara tutorial di mana pelajar hanya menerima bahan pelajaran yang dikawal dan ditentukan oleh sistem. Pendekatan ini serasi dan menyokong pendekatan constructivism, iaitu teori pembelajaran yang memberi penekanan kepada pemikiran kritis, penyelesaian masalah, pengalaman pembelajaran yang autentik, dan pengetahuan yang dibina melalui interaksi sosial. Sebagai contoh :
- pelajar dalam kelas geografi boleh merujuk kepada World Facts Book di laman web Central Intelligence Agency atau merujuk kepada ensaiklopedia atas talian seperti Encarta.
- simulasi maya pembedahan katak Virtual Frog Disection Kit Version 2.0 yang dibangunkan oleh Lawrence Berkly National Laboratory boleh digunakan dalam kelas biologi. Capaian juga boleh dibuat di rumah, untuk tujuan ulangkaji.
Bagi mengatasi masalah lambat capaian , guru boleh meminta bantuan guru lain yang mahir komputer untuk membuat pendua kandungan laman ini ke dalam cakera keras tempatan dengan mrnggunakan perisian pendua web seperti WinHTTrack (perisian ini termasuk dalam kategori freeware dan boleh dimuat turun daripada laman utamanya di http://www.httrack.com). Selain daripada mengakses maklumat terus daripada internet, guru juga boleh menggunakan maklumat yang disimpan di dalam CD-ROM seperti ensaiklopedia, pengkalan data, dan lain-lain maklumat yang boleh diperolehi di pasaran. Guru perlu mengawal masa kerana pembelajaran penerokaan memakan masa yang agak panjang.
Teknologi maklumat sesuai digunakan untuk pembelajaran penerokaan dalam situasi seperti pembelajaran berbentuk inkuiri penemuan, pembelajaran yang menjurus kepada penyelesaian masalah kehidupan sebenar, aktiviti berkaitan dengan kajian masa depan serta juga aktiviti pembelajaran berbentuk simulasi. Antara kelebihan mengguna teknologi maklumat untuk kaedah ini adalah seperti memberi peluang kepada pelajar menentukan haluan dan kemajuan pelajaran masing-masing dan mendorong pelajar terlibat secara aktif dalam pembelajaran.
Teknologi maklumat sebagai alat aplikasi
Teknologi maklumat dikatakan diguna sebagai alat aplikasi apabila membantu pelajar melaksanakan tugasan pembelajaran, bukan sebagai mekanisme penyaluran maklumat p&p. Contohnya penggunaan perisian aplikasi umum seperti pemprosesan perkataan oleh pelajar dalam menghasilkan karangan atau menggunakan perisian hamparan elektronik untuk memplot graf. Perisian aplikasi khusus seperti editor grafik, Computer Aided Design (CAD) dan lain-lain, juga termasuk dalam kategori alat aplikasi yang boleh digunakan untuk membantu pelajar melaksanakan aktiviti pembelajaran.
Di kalangan guru, ada beranggapan bahawa penggunaan teknologi maklumat dalam konteks di atas tercapai bila pelajar dapat menyediakan karangan dengan menggunakan pemprosesan perkataan. Penggunaan seperti ini tidak menyokong mana-mana falsafah pendidikan, sebaliknya komputer dan pemproses perkataan adalah seperti mesin taip sahaja. Bagaimanapun , apabila sekumpulan pelajar berbincang, mengedit dan mengolah kandungan karangan dengan bantuan pemprosesan perkataan dan mempersembahkan hasil karangan ini, barulah boleh dikatakan teknologi maklumat telah digunakan secara manfaat.
Dengan bantuan aplikasi-aplikasi ini , pelajar dapat memberikan tumpuan melakukan aktiviti pembelajaran yang autentik. Contohnya dalam satu eksperimen yang telah dilakukan pelajar perlu mengkaji perkaitan antara dua pembolehubah. Mungkin banyak graf perlu diplot supaya perkaitan antaranya dapat dilihat. Walaupun kemahiran membina graf perlu dikuasai oleh pelajar tetapi dalam hal ini sepatutnya tumpuan perlu diberi kepada melihat perkaitan antara dua pemboleh ubah itu. Tugas membina graf mungkin memesongkan tumpuan pelajar daripada perkara yang lebih penting. Dalam hal ini, perisian aplikasi yang sesuai boleh digunakan untuk membantu pelajar membina graf-graf yang diperlukan itu, sementara perhatian mereka ditumpukan untuk melihat perkaitan antara pembolehubah tersebut.
Satu lagi contoh situasi lain ialah seorang pelajar (dalam apa juga subjek yang berkaitan) mungkin perlu mengelas dan menyisih data yang banyak untuk melihat sesuatu trenda dalam data itu. Teknologi maklumat ialah alat yang ideal untuk diguna bagi tugas yang tidak autentik (iaitu mengelas dan menyisih data yang banyak) manakala pelajar itu boleh menumpukan sepenuh perhatian kepada tugas yang autentik (iaitu melihat dan memikirkan berkenaan trenda yang ada dalam data itu)
Teknologi maklumat sebagai alat pemudah komunikasi
Teknologi maklumat dikatakan sebagai alat pemudah komunikasi apabila diguna untuk membolehkan pelajar dan guru daripada lokasi yang berbeza menghantar , menerima dan berkongsi maklumat yang berbagai bentuk. Kemajuan teknologi maklumat pada hari ini membolehkan komunikasi dilakukan dalam pelbagai mod seperti teks, grafik , audio , video atau kombinasi pelbagai mod. Terdapat empat teknik untuk komunikasi melalui teknologi maklumat iaitu :
- Teknik seorang - sendirian
- Teknik seorang kepada seorang
- Teknik seorang kepada ramai
- Teknik ramai kepada ramai
Satu daripada model pembelajaran terkini yang mengambil peluang daripada keupayaan teknologi maklumat sebagai alat komunikasi ialah pembelajaran kolaboratif. Selain itu, kebolehan komunikasi global melalui teknologi maklumat membolehkan pelajar bertukar maklumat berhubung budaya, dan geografi setempat bagi membolehkan mereka menganalisis dan membuat perbandingan dengan pengalaman mereka. Ini adalah merupakan satu pengalaman pembelajaran yang berupaya membuka minda mereka serta menjadikan pembelajaran lebih menarik dan bermakna.
Secara tradisi, hampir semua guru mahu pelajar mereka memberikan perhatian sepenuhnya kepada apa yang mereka sampaikan. Perbuatan pelajar terlalu banyak bertanya atau bercakap sesama mereka dianggap sebagai menggangu pembelajaran. Walau bagaimanapun, teori pendidikan terkini mengkehendaki pelajar menguasai kemahiran komunikasi. Komunikasi dilihat sebagai satu kemahiran yang berupaya meningkatkan keyakinan pelajar terhadap diri mereka dan seterusnya membantu pembelajaran. Di antara kelebihan menggunakan teknologi maklumat sebagai alat pemudah komunikasi adalah bagi membolehkan pembelajaran secara kolaboratif, meningkatkan penglibatan pelajar dalam proses pembelajaran melalui 'peer group' yang bersifat global serta juga boleh melibatkan pakar di dalam dan luar negara dalam proses pembelajaran.
RUMUSAN
Kecanggihan kemudahan teknologi maklumat yang terdapat di sekolah-sekolah pada masa ini adalah tidak seragam. Ada yang memiliki bilangan komputer yang banyak , dan ada yang memiliki hanya satu atau set komputer sahaja. Ada yang meletakkan komputer di bilik darjah, ada juga yang meletakkan semuanya di makmal. Ada yang memiliki sambungan kepada internet , ada yang tidak. Guru-guru yang ingin marancang sebarang aktiviti pembelajaran yang menggunakan teknologi maklumat haruslah terlebih dahulu mengetahui tahap keupayaan infrastruktur teknologi maklumat yang terdapat di sekolah masing-masing . Ini bagi memastikan aktiviti yang dilaksanakan membuahkan hasil yang optimum sesuai dengan objektif pembelajaran. Selaras dengan konsep teknologi maklumat merentasi kurikulum para pendidik perlu diberi pendedahan secukupnya mengenai segala aspek teknologi maklumat termasuk peralatan, bahan dan sumber, pengurusan, penyelenggaraan, pendekatan sistem dan sebagainya.
RUJUKAN
Naim Haji Ahmad. 1991. Pembudayaan Teknologi Pendidikan Ke Arah Kecemerlangan: Antara Peranan dan
Strategi Agen Perubahan. Kertas kerja seminar penerapan dan pembudayaan teknologi pendidikan.
Institut Aminudin Baki.
Penggunaan Teknologi Maklumat Dan Komunikasi Dalam Pengajaran Dan Pembelajaran. 2001. Pusat
Perkembangan Kurikulum: Kementerian Pendidikan Malaysia.
Persatuan Teknologi Pendidikan Malaysia . 1988. Perlembagaan Persatuan Teknologi Pendidikan Malaysia.
Kuala Lumpur : PTPM.
Wan Zahid Noordin. 1991. Ucapan Dasar Perasmian Seminar Teknologi Pendidikan ke 3 Persatuan Teknologi
Pendidikan Malaysia di Melaka, 5 Julai 1991.
Enjin Carian Google
Tarikh / Masa : 01 Julai 2011
Fasilitator : YM Raja Shaharudin Bin Raja Mohamad
Bagaimana Cara Enjin Carian Google Beroperasi?
§ Seperti yang kita tahu, seacrh engine yang paling popular di Internet ialah Google. Ya , hampir 70% pengguna internet di seluruh dunia menggunakan enjin carian Google untuk membuat sesuatu carian. Namun dalam kalangan itu, masih ramai yang tidak tahu bagaimana Google bekerja dan memberi informasi berguna kepada anda.
§ Tak kiralah anda mencari kata kunci seperti “panduan membina blog“, “cara membuat akaun paypal” atau apa sekalipun, yang pastinya bila anda klik butang search Google, secara automatik Google akan memberi cadangan laman web yang berkaitan dengan kata kunci yang anda cari.Secara asasnya, enjin carian akan melakukan 4 pekerjaan untuk mendapatkan hasil pencariannya , iaitu – crawling, indexing, processing, calculating relevancy dan retrieving.
ü Crawling
Pertama sekali, enjin carian akan crawl laman web untuk melihat kandungan yang terdapat di laman web. Tugas crawling ini bukan dijalankan oleh manusia, tetapi akan dijalankan oleh suatu software atau spider ( Googlebot iaitu spider Google , Yahoobot iaitu spider Yahoo). Sememangnya kewujudan spider ini memang terbukti. Mungkin anda akan terlihat kewujudan spider ini pada bahagian ‘whos’ online”, dimana suatu bahagian yang terdapat pada setiap forum. Spider ini akan menerusi laman web tersebut serta mengindex kandungan yang terdapat di sana.
ü Indexing
· Ok selepas operasi crawling, langkah selanjutnya ialah operasi indexing. Operasi indexing ialah proses mengenalpasti kata kunci yang sesuai untuk menggambarkan kandungan yang terdapat pada sesuatu laman web.Sebagai cara untuk mempercepatkan laman web kita terus diindex oleh enjin carian, anda mestilah mendaftarkan laman web/blog di enjin carian sebagai cara “makluman” kepada Google. Antara caranya ialah, hantarkan laman web/blog anda ke http://www.google.com/addurl.html.
· Atau sekiranya anda ingin mengetahui cara lain, bolehlah rujuk post saya terdahulu : Cara Pantas Index di Google Sebagai pelengkap post ini, disertakan video dari orang Google sendiri iaitu Matt Cutt, yang akan menerangkan Bagaimana Enjin Carian Google beroperasi seharian.
Sumber ini diperolehdaripada : http://hasbulaqill.com/bagaimana-cara-enjin-carian-google beroperasi.html
Subscribe to:
Posts (Atom)